TANGGUNGJAWAB REMAJA DALAM MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM
Tanggungjawab memartabatkan agama Islam di Malaysia bukan hanya terletak pada remaja semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab setiap umat Islam di negara ini. Sebagai Remaja hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam. Menjadi tanggungjawab semua remaja untuk mendaulatkan agama Islam dan menysuaikan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bukan 'agama rasmi' seperti difahami sesetengah golongan.
Apatah lagi sebagai negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi sosial dan undang-undang. Islam yang dinyatakan adalah Islam dalam erti kata sebenar iaitu sebagai cara hidup, bukan terhad kepada amalan atau ibadah khusus semata-mata.
Remaja pada masa sekarang adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Biarpun begitu, kelompok belia atau pemuda secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana badan serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.
Selanjutnya, remaja hari ini perlulah dilengkap dan dipersiapkan dengan pendidikan tinggi dalam segala aspek terutamanya peluang ke universiti. Ini adalah kerana universiti adalah medan terbaik kepada golongan belia untuk membina kaliber dan mengasah bakat kepimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam pelbagai dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus. Untuk itu, mahasiswa Islam perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas dan meletakkan semula fungsi mereka sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku di mana mereka perlu lebih aktif dan agresif menjuarainya. Justeru berdasarkan premis tersebut, universiti adalah platform dan forum merangka formula ke arah melahirkan belia yang berintegriti, bersahsiah dan bermaruah.
Akhir kata setiap remaja haruslah merebut peluang dalam memperjuangkan dan menegakkan agama islam di Malaysia.
Tweet
No comments:
Post a Comment